Sunday, May 30, 2010

MASALAH HARIAN YANG DIHADAPI OLEH IBU BAPA KANAK-KANAK KURANG UPAYA

Pengenalan
Kanak-kanak kurang upaya ditakrifkan sebagai individu yang mengalami masalah dari segi penglihatan, pendengaran, fizikal, komunikasi, pertuturan, tingkah laku, terencat akal dan pintar cerdas (Mohd. Sharani Ahmad, 2004). Kanak-kanak kurang upaya ini juga dikenali sebagai kanak-kanak istimewa. Hal ini demikian kerana, mereka lahir dengan pelbagai ketidakupayaan dan memerlukan bantuan dari segi fizikal mahupun mental. Mereka memerlukan alatan khas bagi memudahkan mereka untuk bergerak, dan ianya bergantung kepada jenis kecacatan yang dimiliki. Kecacatan mereka ini bersifat kekal iaitu tidak dapat dipulihkan tetapi hanya dapat dibantu dengan alatan khas bagi mengurangkan penderitaan yang dialami oleh mereka. Secara amnya, kanak-kanak kurang upaya didefinisikan sebagai kanak-kanak istimewa yang mempunyai kesukaran atau ketidakupayaan fizikal, mengalami kesukaran dalam pembelajaran atau masalah tingkah laku atau kedua-duanya. Kanak-kanak tersebut memerlukan rawatan dan penjagaan yang lebih khusus bagi memenuhi keperluan mereka. Kehadiran mereka dikatakan begitu membebankan dan memberi masalah harian kepada keluarganya. Seperti untuk menguruskan makan minum, memandikan dan membersihkan najisnya, perbelajaan kos perubatan dan sebagainya.

Reaksi di Kalangan Ibu Bapa
Hakikatnya, semua ibu bapa di muka bumi ini secara fitrahnya menginginkan anak yang sempurna bagi mengisi kekosongan dan kesunyian hidup mereka. Setiap pasangan suami isteri tentunya mengharapkan kehadiran cahaya mata yang sempurna dari segi fizikal dan mental agar dapat membesar dengan sihat, cerdas dan pintar. Tetapi tidak semua pasangan yang mendirikan rumahtangga memperoleh apa yang mereka hajati. Adakalanya Allah SWT menguji hamba-hambanya dengan memberikan anak yang cacat iaitu tidak sempurna dari segi fizikal atau mentalnya. Hal ini demikian kerana, adalah untuk menguji keiman dan kesabaran hambanya serta meningkatkan lagi ketaqwaan mereka kepada Allah SWT.
          Tetapi terdapat segelintir ibu bapa yang tidak redha dengan pemberian Allah SWT. Mereka berasa susah hati, mengeluh dan bersedih kerana memiliki anak yang tidak sempurna dari segi fizikal mahupun mentalnya. Hal ini menimbulkan tekanan kepada mereka. Suami isteri ini berasa malu dan hina kerana memiliki anak yang tidak sempurna, mereka saling menyalahkan antara satu sama lain dan mengakibatkan institusi kekeluargaan yang telah dibina kian goyah dan tidak membahagiakan. Ini berlaku kerana mereka tidak dapat menerima hakikat yang sebenar dan cuba untuk menafikan apa yang telah berlaku. Seharusnya pasangan yang mengalami situasi ini, perlu bersabar dan bermuhasabah kerana setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Allah SWT tidak menguji atau menjadikan sesuatu perkara tanpa sebab.
          Cunningham (1979) menjelaskan, ibu bapa anak istimewa akan melalui lima tahap emosi berhubung dengan kelahiran tersebut. Perasaan yang pertama kali hadir adalah terkejut di mana mereka tidak dapat menerima kenyataan dan mereka berharap itu semua adalah salah dan tidak seharusnya berlaku. Mereka akan mengalami kekeliruan emosi seperti kebingungan, rasa lemah dan tidak berdaya untuk melakukan sesuatu, tidak percaya dan pemikiran yang kurang rasional terhadap keputusan diagnosis yang dibuat oleh doktor. Selepas mengalami gangguan perasaan mereka biasanya akan berkabung dan menunjukkan rasa kecewa, bimbang, rasa bersalah, menafikan kenyataan dan rasa gagal dalam hidupnya serta menunjukkan mekanisma bela diri. Tahap yang ketiga adalah adaptasi di mana mereka mula menerima hakikat sebanar dan memikirkan cara yang lebih realistik untuk berhadapan dengan kenyataan dan memikirkan tindakan yang sewajarnya.
          Tahap ke empat adalah orientasi, di mana pasangan suami isteri cuba menyelesaikan masalah dengan memenuhi semua keperluan anak istimewa dengan merangka semula sumber kewangan keluarga agar dapat diagihkan dengan fleksibel. Ibu bapa juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada pihak kebajikan masyarakat agar anaknya mendapat pendidikan dan bantuan kewangan yang mencukupi. Tahap ke lima adalah penerimaan sepenuhnya pasangan terhadap anak istimewa. Mereka akan menjalani kehidupan seperti sediakala dan melupakan krisis yang pernah berlaku. Walaupun, kehadiran anak istimewa membawa impak yang besar ke pada keluarga tetapi semua anggota keluarga dapat menyesuaikan diri, berupaya mengawal keadaan keluarga, mampu membuat keputusan, dan bijak mengambil tindakan apabila masalah baru muncul.

Permasalahan yang Wujud
Terdapat pelbagai masalah yang timbul berkaitan dengan ketidakupayaan fizikal atau kecacatan. Golongan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak istimewa terdiri daripada 8 jenis iaitu kecacatan dari segi penglihatan (Visual Impairments), pendengaran (Hearing/auditory Impairments), fizikal (Physical Disabilities), komunikasi atau pertuturan (Communication Disorders), tingkah laku (Behaviour Disorders/Emotional Disturbance), masalah pembelajaran (Learning Disabilities), terencat akal (Mental Retardation) dan pintar cerdas (Exceptional Gifted). Setiap daripada kanak-kanak istimewa ini mempunyai pelbagai ketidakupayaan dan ianya berbeza antara satu sama lain, oleh itu kehendak dan keperluan mereka juga turut berbeza.
Dalam menelusuri hakikat sebenar kanak-kanak istimewa ini terdapat juga segelintir masyarakat yang kurang pengetahuan dan tidak memahami keadaan sebenar ketidakupayaan seseorang kanak-kanak hal ini meyebabkan mereka terabai dan potensi diri mereka juga tidak dapat diasuh dan terbiar. Apa yang lebih menyedihkan jika kedua ibu bapa kanak-kanak istimewa ini, langsung tidak memahami apa sebenarnya permasalahan yang dihadapi oleh anak mereka. Keadaan ini amat membimbangkan kerana mereka akan terus terpinggir daripada arus peredaran masa. Justeru pelbagai program intervensi dan ceramah harus dilaksanakan agar masyarakat memperoleh ilmu yang amat berguna ini. Ini adalah untuk memastikan tiada berlaku pengabaian kanak-kanak dan ketidakupayaan kanak-kanak istimewa dapat dikenalpasti pada peringkat awl lagi dan boleh dibantu bagi mengurangkan penderitaan yang dialami oleh mereka.

Tekanan yang dihadapi oleh Ibu Bapa
Menurut Seligman dan Darling (1989), keluarga kepada kanak-kanak kurang upaya mempunyai cabaran dan tekanan yang tidak dapat difahami oleh orang lain. Ibu bapa berhadapan dengan bebanan menjaga anak istimewa yang kian membesar seumur hidup. Di mana anak istimewa ini tidak pandai menguruskan diri, oleh itu ibu bapanya terpaksa mengasuh, memberi makan, memandikan, membersihkan najis dan sebagainya. Apabila anak istimewa kian membesar ianya memberikan  kesukaran untuk mendukung atau mengangkat mereka apabila ingin memandikan atau membersihkan najis. Hal ini demikian kerana, ibu bapa semakin tua dan uzur oleh itu kudrat mereka juga kian berkurangan. Biasanya tugas ini akan beralih pula kepada adik-beradik yang lain untuk menguruskan makan minum, pakaian, memandikan dan lain-lain lagi.
          Berlaku stigma sosial dan diskiriminasi yang dilemparkan ke pada pasangan suami isteri yang memiliki anak istimewa. Mereka akan dicemuh, dihina, diejek dan diperolokkan. Oleh itu menyebabkan ibu bapa takut untuk mendedahkan perkara ini kepada pengetahuan umum khususnya jiran tetangga. Menurut Olshansky (1992), ibu bapa tidak mampu untuk melakukan apa-apa pun demi kesejahteraan dan kebahagiaan anak istimewa. Menurut Olshansky (1992) lagi, perasaan sedih yang dialami oleh ibu bapa anak istimewa berlaku secara berterusan dan berulang-ulang serta sukar untuk digambarkan. Ianya dikenali sebagai kesedihan kronik ianya bukan disebabkan oleh keengganan menerima anak istimewa dan bukan juga disebabkan oleh penyakit mental (Olshansky, 1992). Ianya merupakan satu penerimaan jangka masa panjang di mana kesedihan itu bertindak balas dengan fakta tragis yang difahami dan tidak melibatkan mental.
          Ibu bapa biasanya berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat (Seligman dan Darling, 1989). Menurut Li et al. (1991) Persepsi dan stigma masyarakat terhadap ibu bapa kanak-kanak ini menyebabkan rasa rendah diri dan seterusnya menyebabkan rasa sukar untuk menyesuaikan diri di dalam kelompok masyarakat. Menurut Whayley dan Wong (1991), reaksi negatif yang ditunjukkan oleh ibu bapa kanak-kanak istimewa berkaitan dengan kehilangan kewibawaan identiti dirinya. Menurut Prado (1991), tidak kurang juga disebabkan oleh ketakutan terhadap penolakan sosial dan takut disisihkan dan hidup bersendirian. Menurut Murphy (1992), sekaj dari awal ibu bapa mengetahui bahawa mereka akan menerima anak yang tidak sempurna, mereka mula berasa ketidakpastian, amat sensitif dan mudah tersinggung. Mereka terpaksa memikirkan tentang penyesuaian psikososial. Mereka juga tidak pasti bagaimana untuk menhilangkan keadaan ini.
          Seperti ibu bapa lain, ibu bapa kanak-kanak istimewa juga mengalami perenting stress. Menurut Inanami, Ogura, Rodgers, dan Nishi (1994)  ada 11 perkara yang dinilai dalam perenting stress seperti yang digunakan di dalam Questionnaire on Resources and Stress (J. Holroyd, 1987). Di antara skalanya adalah parental affliction, pessimism about child development, overprotection/dependency, anxiety about the future of the child, social isolation, burden for members of the family, financial problems, lack of family integration, intellectual incapacitation, physical incapacitation, and need for the care of the child.
Perenting stress merujuk kepada tekanan yang terlibat di dalam perhubungan ibu bapa dan anak. Perenting stress ini dipengaruhi oleh kewujudan atau kehadiran kanak-kanak istimewa yang mempunyai kecacatan (Kazak dan Marvin, 1984). Kajian menunjukkan stres di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak cacat adalah tinggi berbanding dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang normal (Boyce dan Behl, 1991). Kajian oleh Boyce dan Behl pada tahun 1991 menunjukkan bahawa sumber tekanan di kalangan ibu bapa anak istimewa di dorong oleh perwatakan atau personaliti anak istimewa dan penerimaan ibu bapa serta anggota keluarga terhadap kelahiran anak istimewa.


Penerimaan Terhadap Anak-anak Istimewa
Menurut Mohd. Sharani Ahmad (2002) menyatakan bahawa penerimaan ibu bapa terhadap anak-anak istimewa, sama ada penerimaan secara fizikal contohnya seperti senyuman, dukungan, dan pelukan. Manakala penerimaan lisan pula adalah seperti percakapan yang baik, pujian atau penghargaan, di mana ia merupakan sesuatu yang sangat penting sebagai tanda kasih sayang kepada anak istimewa. Keberkesanan pengurusan anak istimewa adalah bergantung kepada penerimaan ibu bapa serta anggota keluarga. Ibu bapa yang dapat menyesuaikan diri dan menerima kehadiran anak istimewa dengan baik kurang mengalami tekanan, di mana mereka lebih berfikiran positif dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua anak-anaknya (Bryne et al., 1988). Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang tidak berupaya menerima dan tidak mahu menjaga anak istimewa. Hal ini kerana, mereka merasakan anak tersebut hanya memberi beban dan tekanan dalam perkahwinan (Weiss dan Weiss, 1996).
          Selain itu, terdapat beberapa keadaan di mana hanya ibu sahaja yang dapat menerima kehadiran anak istimewa manakala bapa tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Terdapat juga kes di mana bapa dapat menerima anak istimewa tetapi ibu pula adalah sebaliknya (Mohd. Sharani Ahmad, 2002). Terdapat beberapa faktor yang menjadi asas kepada penerimaan kanak-kanak istimewa iaitu:
  1. Status ekonomi
Ibu bapa yang mempunyai status ekonomi yang rendah kurang menerima kehadiran anak istimewa di dalam keluarga mereka, lantaran daripada ketidakupayaan untuk menanggung kos rawatan dan keperluan khas anak istimewa. Manakala bagi keluarga yang mempunyai status ekonomi yang tinggi mereka lebih terbuka untuk menerima kehadiran anak istimewa kerana mereka tidak dihimpit oleh kesempitan hidup. Mereka mampu untuk menanggung perbelanjaan harian anak istimewa.
  1. Tahap pendidikan
Tahap pendidikan menentukan sama ada seseorang itu mampu atau tidak untuk beradaptasi dan menerima kanak-kanak istimewa. Semakin tinggi taraf pendidikan ibu bapa semakin tinggi tahap penerimaan ibu bapa terhadap kehadiran anak istimewa. Hal ini kerana mereka mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang menguruskan anak istimewa dan mereka juga mampu untuk memahami dan mencari sumber bagai mengembangkan potensi diri anak istimewa.
  1. Bilangan anak
Bilangan anak yang ramai turut mempengaruhi tahap penerimaan terhadap anak istimewa. Anak yang ramai akan menyebabkan ibu bapa kurang untuk menerima anak istimewa kerana mereka terlalu sibuk menguruskan anak-anak dan tidak mampu untuk memperuntukkaan masa yang lama untuk anak istimewa. Hal ini kerena, anak istimewa tidak dapat berdikari sendiri sama seperti anak yang normal. Ibu bapa terpaksa memandikan, menyediakan makanan, menyuapkan, mendukung dan sebagainya. Ini menyebabkan ibu bapa kurang untuk menerima kehadiran anak istimewa yang mana dianggap begitu membebankan.

  1. Tahap kecacatan anak
Tahap kecacatan anak juga mempengaruhi penerimaan ibu bapa terhadap anak istimewa. Anak yang mempunyai kecacatan yang agak serius seperti tidak boleh berjalan dan lumpuh serta hanya terbaring, di mana lebih mengharapkan  orang lain  untuk menguruskan dirinya kurang diterima oleh ibu bapa. Jika kanak-kanak tersebut bersifat hiperaktif atau pintar cerdas mereka ini mudah untuk diterima. Hal ini kerana kecacatan mereka tidak dapat dilihat secara jelas melalui mata kasar. Berbanding dengan  kanak-kanak cacat fizikal yang mana mereka jelas dan mudah untuk dikenal pasti.

Kelompok Sokongan Ibu Bapa
Kerajaan telah menetapkan bahawa pada tanggal 14 Februari setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi kanak-kanak istimewa kerana menyambut Hari Golongan Orang Kurang Upaya. Semua pihak harus berperanan dalam membantu dan memberi sokongan kepada ibu bapa dan kanak-kanak istimewa. Antara peranan yang dapat di mainkan oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan masyarakat, media massa adalah seperti berikut:
  1. Pihak Kerajaan
Pihak kerajaan khasnya dapat merangka beberapa pendekatan efisien dalam membantu memperjuangkan masa depan kanak-kanak istimewa. Sejajar dengan perlaksanaan program Bertindak Dunia yang diwujudkan hasil daripada ‘Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan Peluang bagi OKU Rantau Asia dan Pasifik pada 1994’,. Di mana pihak kerajaan perlu menepati sasaran 107 sasaran yang termaktub dalam Agenda Bertindak Dekad Orang Kurang Upaya Asia dan Pasifik. Penyertaan ini diharapkan dapat membantu pihak kerajaan memperjuangkan nasib anak istimewa dan OKU melalui pengalaman-pengalaman yang diperolehi dari negara luar seperti Jepun, Korea, Australia.
     Selain itu, kerajaan harus memperluaskan Kod Amalan Akses Bagi OKU di semua bangunan awam bagi memberi kemudahan kepada golongan OKU. Langkah ini tidak hanya melibatkan kemudahan tandas awam, lif dan laluan khas untuk golongan OKU, sebaliknya perlu diperluaskan dengan pelbagai kemudahan lain. Ini akan memberi impak yang baik kepada golongan OKU. Kemudahan ini harus ditingkatkan supaya suasana mesra OKU dalam pembangunan negara dapat ditunjukkan. Malah, langkah ini tampak efisien jika dapat diteruskan oleh pihak swasta melalui saranan dari pihak kerajaan.
  1. Badan Bukan Kerajaan (NGO), Swasta dan Masyarakat
Pihak NGO dan swasta perlu menyahut cabaran dalam usaha memperjuangkan masa depan anak istimewa. Sifat lepas tangan dan ketidakpekaan harus dibuang bagi mengikis stigma yang berlaku terhadap anak istimewa. Pihak NGO seharusnya tidak mengharapkan sumbangan besar SUHAKAM dalam memperjuangkan hak anak istimewa. Kemampuan menyediakan kemudahan awam oleh badan korperat adalah penting bagi menyokong kerajaan. Langkah ini adalah lebih mesra OKU dalam memanfaat keupayaan sumber kewangan yang ada pada badan korporat.
  1. Media Massa
Media massa adalah saluran yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai anak istimewa. Pendekatan yang dijalankan oleh pihak media massa seperti rancangan reality bermanfaat seperti ini seharusnya dijadikan perintis untuk terus mewujudkan rancangan yang seumpamanya yang melibatkan kanak-kanak istimewa. Justeru, jika rancanagan ‘Bersamamu TV3’ memfokuskan pelbagai isu yang melibatkan ketidakupayaan seperti kemiskinan, seharusnya rancangan khusus mengenai anak istimewa yang memerlukan perhatian dan sokongan perlu diwujudkan.
     Selain melalui media elektronik, media cetak juga perlu turut memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu kanak-kanak istimewa. Walaupun terdapat akhbar-akhbar utama menyiarkan ketidakupayaan kanak-kanak istimewa, langkah ini perlu diperhebatkan sementara akhbar dan majalah yang lain harus mengikut jejak langkah Berita Harian yang menyiarkan sisipan khas iaitu, ‘Mayang’ pada setiap bulan. Usaha sedemikian sekurang-kurangnya dapat menambah kefahaman masyarakat di Negara ini tentang anak istimewa dan nasib mereka yang memerlukan pembelaan sewajarnya.
Dalam konteks yang lebih luas, media massa adalah antara medium utama sumber ilmu pengetahuan. Justeru, pihak media seharusnya dapat mengemblengkan pengetahuan mengenai anak-anak istimewa perlu diperhebatkan untuk membela nasib anak istimewa. Langkah yang lebih tersusun dan perancangan yang baik merupakan harapan baru kepada para ibu bapa anak istimewa untuk melihat nasib anak istimewa terbela.

Selain itu juga terdapat beberapa kelompok sokongan yang mana memberi bantuan kepada keluarga kanak-kanak istimewa. Apa kelompok sokongan yang wujud di Malaysia?. Apa yang mampu dilakukan oleh kelompok sokongan ini bagi membantu kanak-kanak istimewa?. Sebenarnya banyak kelompok sokongan yang sedia ada antaranya pihak dan lain-lain lagi. Kelompok sokongan secara umumnya mempunyai empat ciri penting iaitu pertemuan secara berkala, dihadiri oleh ahli-ahli kelompok yang sama bagi setiap pertemuan, berlaku dalam keadaan spontan dan tidak formal, serta wujud hubungan erat di antara ahli (Zastrow, 2001). Kelompok Sokongan Ibu Bapa (KSI) di Pusat Harian Sinar Harapan Alor Setar merupakan satu saluran di mana ibu bapa boleh menjalinkan hubungan dan berinteraksi serta menerima dan memberi sokongan antara satu sama lain. Lazimnya kelompok sokongan terdiri daripada mereka yang mempunyai persamaan keperluan dan kepentingan yang khusus.
          Kelompok sokongan menyediakan ruang untuk ibu bapa mendapat sokongan diantara satu dengan yang lain, saluran untuk berkomunikasi, peluang untuk tindakan sosial dan meningkatkan pengetahuan melalui program-program pendidikan (Gainey, Prochazka-Graf dan Trombino, 1992). Setelah berjumpa dan berkenalan di antara satu dengan yang lain, ibu bapa merasakan bahawa masalah yang mereka hadapi bukanlah sesuatu yang terasing, tetapi turut juga dialami oleh ibu bapa lain yang senasib dengan mereka. Mereka berpeluang berbincang tentang masalah yang sedang dihadapi dalam membesarkan anak istimewa. Selain mereka memperoleh sokongan moral, mereka juga mungkin mendapat idea-idea untuk menangani masalah yang sedang dihadapi, dan mungkin juga lebih bersedia untuk berhadapan dengan keadaan-keadaan yang mungkin timbul pada masa akan datang.
          KSI (Kelompok Sokongan Ibu Bapa) adalah satu usaha yang dijalankan oleh ibu bapa kanak-kanak istimewa itu sendiri. Di antara aktiviti-aktiviti penting yang lazim dijalankan oleh kelompok sokongan termasuklah perkongsian pengalaman, penyebaran maklumat berkaitan jagaan, pendidikan dan latihan, penubuhan pusat sumber keluarga, menganjurkan ceramah-ceramah mengenai topik-topik yang berkaitan dengan perkembangan dan bimbingan atau asuhan anak-anak istimewa, dan perkhidmatan nasihat berhubung dengan kemudahan-kemudahan serta sumber-sumber yang terdapat di dalam komuniti. California State Department of Education di Amerika Syarikat telah membentuk sebuah modul untuk Kelompok Sokongan Ibu Bapa dan telah mengenalpasti fungsi-fungsi berikut (Thompson, 1997):
  1. Menyediakan sokongan yang berterusan.
  2. Memberi bantuan semasa menghadapi krisis.
  3. Meneguhkan tingkah laku daya tindak yang positif.
  4. Membantu menangani perasaan marah (anger) dan menggunakan tenaga dengan cara yang positif.
  5. Berkongsi maklumat, idea-idea dan sumber-sumber.
  6. Menyediakan program latihan untuk ibu bapa meningkatkan kemahiran mereka.
  7. Membantu apabila perlu mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi berkaitan seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan yang lain.
  8. Menyediakan peluang untuk mengatasi perasaan kesorangan dan membentuk persahabatan yang baru.

Daripada satu kajian yang dijalankan oleh Santelli, Turnbull, Sergeant, Lerner dan Marquis (1996), ibu bapa yang mempunyai anak istimewa telah diminta menyatakan jenis-jenis sokongan yang mereka ingin dapatkan daripada ibu bapa lain melalui kelompok sokongan.  Satu tinjauan telah dilakukan di mana memfokuskan kepada sokongan emosi, sokongan maklumat dan sokongan-sokongan lain. Hasil tinjauan mendapati bahawa dari segi sokongan emosi, perkara yang diutamakan ialah untuk mempunyai seseorang yang sedia mendengar dan memahami masalah yang dihadapi (67%), membantu dalam mengurangkan perasaan kesorangan (42%) dan memberi harapan untuk masa depan (30%). Dari segi sokongan maklumat, ibu bapa memberi keutamaan kapada maklumat berkaitan dengan ketidakupayaan (59%), cara-cara utuk mencari dan memdapatkan perkhidmatan (55%) dan penjagaan anak istimewa (52%). Dari segi sokongan lain, perjumpaan-perjumpaan untuk sokongan emosi (50%) dan untuk pendidikan (50%).


Kesimpulan
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membantu dan meringankan beban keluarga yang mempunyai anak istimewa. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Sebagai sebuah masyarakat yang pelbagai kaum dan agama, seharusnya menanamkan sikap saling menyayangi dan membantu antara satu sama lain agar hasrat Perdana Menteri kita tercapai untuk merealisasikan slogan ‘Satu Malaysia’. Dalam apa keadaan sekalipun setiap individu mempunyai peranan dalam menjalankan tanggungjawab sosial tanpa mengira status, agama, bangsa atau darjat. Hak yang sama rata harus diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Setiap manusia adalah unik oleh itu, setiap individu harus saling hormat-menghormati dan peka kepada keadaan persekitaran. Ini penting agar setiap ahli masyarakat prihatin dan sensitif kepada keperluan golongan anak istimewa dan tidak mendiskriminasikan keluarga yang mempunyai anak istimewa.
RUJUKAN
Harwood R. Miller. S.C. Vasta. R. (2008).Child Psychology Development In A Changing         Society. United States : John Wiley and Sons.

Huffmen, K. (2007), Psychology in Action. (8th Ed.) United States : Von Hoffmann Corporation

Khaidir Hj. Ismail, Lukman Z.M., Hanina H. Hamsam (2008). Pembangunan Kanak-kanak: Teori, Isu dan Cabaran, Arah Pendidikan Sdn. Bhd., Polygraphic (M) Sdn. Bhd.

Mohamad Nazar Mohamed, (2001). Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Sharani Ahmad, Nurul Hudani Md. Nawi. (2005). Tekanan dalam Keluarga Anak Istimewa di Kota Kinabalu. Kertas Kerja Persidangan Kebangsaan Kanak-kanak Istimewa: Hala Tuju dan Harapan. Anjuran Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah dan Pusat Seri Mengasih pada 17 dan 18 Disember 2005 di Auditorium Perpustakaan, Universiti Malaysia sabah.

Mohd Sharani Ahmad (2008). Intervensi Anak Istimewa Bermasalah Pembelajaran, Universiti Malaysia Sabah, Capital Associates (S) Sdn. Bhd.

Mohd Sharani Ahmad, (2004). Special Children, Universiti Putra Malaysia, Aremes (M) Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment