Sunday, May 30, 2010

PENERIMAAN IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK ISTIMEWA


Pengenalan

Penerimaan anak istimewa di dalam sesebuah keluarga bergantung kepada persepektif ibu bapa terhadap golongan anak-anak istimewa. setiap pasangan suami isteri yang tentunya mengharapkan kehadiran cahaya mata yang sempurna dari segi fizikal dan mental agar dapat membesar dengan sihat, cerdas dan pintar. Tetapi tidak semua pasangan yang mendirikan rumahtangga memperoleh apa yang mereka hajati. Adakalanya pasangan tersebut diuji dengan kehadiran anak yang cacat iaitu tidak sempurna dari segi fizikal atau mentalnya. Hal ini sekaligus menimbulkan konflik sejauhmana penerimaan ibu bapa terhadap kelahiran anak istimewa. Penerimaan ibu bapa terhadap anak-anak istimewa seringkali menjadi isu dan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, anak istimewa dilihat sebagai bebanan yang harus dipikul oleh ibu bapa sepanjang hayat. Hakikatnya, semua ibu bapa di muka bumi ini secara fitrahnya menginginkan anak yang sempurna bagi mengisi kekosongan dan kesunyian hidup mereka.

Definisi Anak Istimewa

Anak istimewa ditakrifkan sebagai individu yang mengalami masalah dari segi penglihatan, pendengaran, fizikal, komunikasi, pertuturan, tingkah laku, terencat akal dan pintar cerdas (Mohd. Sharani Ahmad, 2004). Anak istimewa ini juga dikenali sebagai kanak-kanak kurang upaya. Hal ini demikian kerana, mereka lahir dengan pelbagai ketidakupayaan dan memerlukan bantuan dari segi fizikal mahupun mental. Mereka memerlukan alatan khas bagi memudahkan mereka untuk bergerak, dan ianya bergantung kepada jenis kecacatan yang dimiliki. Kecacatan mereka ini bersifat kekal iaitu tidak dapat dipulihkan tetapi hanya dapat dibantu dengan alatan khas bagi mengurangkan penderitaan yang dialami oleh mereka.

Secara amnya, anak istimewa didefinisikan sebagai kanak-kanak kurang upaya yang mempunyai kesukaran atau ketidakupayaan fizikal, mengalami kesukaran dalam pembelajaran atau masalah tingkah laku atau kedua-duanya. Kanak-kanak tersebut memerlukan rawatan dan penjagaan yang lebih khusus bagi memenuhi keperluan mereka. Kehadiran mereka dikatakan begitu membebankan dan memberi masalah harian kepada keluarganya. Seperti untuk menguruskan makan minum, memandikan dan membersihkan najisnya, perbelajaan kos perubatan dan sebagainya.

Penerimaan Ibubapa

Menurut Mohd. Sharani Ahmad (2002) menyatakan bahawa penerimaan ibu bapa terhadap anak-anak istimewa, sama ada penerimaan secara fizikal contohnya seperti senyuman, dukungan, dan pelukan. Manakala penerimaan lisan pula adalah seperti percakapan yang baik, pujian atau penghargaan, di mana ia merupakan sesuatu yang sangat penting sebagai tanda kasih sayang kepada anak istimewa. Keberkesanan pengurusan anak istimewa adalah bergantung kepada penerimaan ibu bapa serta anggota keluarga. Ibu bapa yang dapat menyesuaikan diri dan menerima kehadiran anak istimewa dengan baik kurang mengalami tekanan, di mana mereka lebih berfikiran positif dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua anak-anaknya (Bryne et al., 1988). Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang tidak berupaya menerima dan tidak mahu menjaga anak istimewa. Hal ini kerana, mereka merasakan anak tersebut hanya memberi beban dan tekanan dalam perkahwinan (Weiss dan Weiss, 1996).

Bukan mudah untuk menerima hakikat sebenar kehadiran anak istimewa dalam sesebuah keluarga. Adakalanya, kelahiran seorang anak istimewa di anggap sebagai satu krisis keluarga. Keberkesanan menguruskan anak istimewa bergantung kepada penerimaan ibu bapa terhadap kehadiran anak istimewa. Ibu bapa seharusnya dapat beradaptasi dan menerima kehadiran anak istimewa dengan hati yang terbuka. Penerimaan yang positif akan menyebabkan tekanan kurang dialami oleh ibu bapa. Menurut Weiss (1996) ibu bapa beranggapan anak istimewa ini membawa masalah dan kesukaran dalam kehidupan mereka.

Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan dengan penerimaan ibu bapa terhadap kehadiran anak istimewa. Dewasa ini, masyarakat seakan mengkecam golongan ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya atau istimewa. Kanak-kanak yang mempunyai kecacatan kurang dipedulikan dan tidak diendahkan langsung oleh segelintir masyarakat yang cetek pengetahuan tentang nilai-nilai kemanusiaan. Terdapat juga segelintir masyarakat menganggap kelahiran anak cacat dikaitkan dengan tulah atau petanda tidak baik akibat daripada dosa masa silam (Li et al., 1998). Oleh hal yang demikian, terdapat segelintir golongan ibu bapa yang tidak mahu menerima atau menolak kehadiran anak istimewa. Apabila mengetahui bahawa anak mereka cacat kebanyakkan ibu bapa akan mempunyai tanggapan yang negatif di mana ianya akan sentiasa menghantui pemikiran mereka (Russel, 1993).

Selain itu, terdapat beberapa keadaan di mana hanya ibu sahaja yang dapat menerima kehadiran anak istimewa manakala bapa tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Terdapat juga kes di mana bapa dapat menerima anak istimewa tetapi ibu pula adalah sebaliknya (Mohd. Sharani Ahmad, 2002). Terdapat beberapa faktor yang menjadi asas kepada penerimaan kanak-kanak istimewa iaitu:

  1. Status ekonomi

Ibu bapa yang mempunyai status ekonomi yang rendah kurang menerima kehadiran anak istimewa di dalam keluarga mereka, lantaran daripada ketidakupayaan untuk menanggung kos rawatan dan keperluan khas anak istimewa. Hal ini kerana keperluan perubatan untuk kanak-kanak istimewa adalah mahal dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memastikan anak tersebut mendapat rawatan. Manakala bagi keluarga yang mempunyai status ekonomi yang tinggi mereka lebih terbuka untuk menerima kehadiran anak istimewa kerana mereka tidak dihimpit oleh kesempitan hidup. Mereka mampu untuk menanggung perbelanjaan harian anak istimewa.

  1. Tahap pendidikan

Tahap pendidikan menentukan sama ada seseorang itu mampu atau tidak untuk beradaptasi dan menerima kanak-kanak istimewa. Semakin tinggi taraf pendidikan ibu bapa semakin tinggi tahap penerimaan ibu bapa terhadap kehadiran anak istimewa. Hal ini kerana mereka mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang menguruskan anak istimewa dan mereka juga mampu untuk memahami dan mencari sumber bagai mengembangkan potensi diri anak istimewa.

  1. Bilangan anak

Bilangan anak yang ramai turut mempengaruhi tahap penerimaan terhadap anak istimewa. Anak yang ramai akan menyebabkan ibu bapa kurang untuk menerima anak istimewa kerana mereka terlalu sibuk menguruskan anak-anak dan tidak mampu untuk memperuntukkaan masa yang lama untuk anak istimewa. Hal ini kerena, anak istimewa tidak dapat berdikari sendiri sama seperti anak yang normal. Ibu bapa terpaksa memandikan, menyediakan makanan, menyuapkan, mendukung dan sebagainya. Ini menyebabkan ibu bapa kurang untuk menerima kehadiran anak istimewa yang mana dianggap begitu membebankan.

  1. Tahap kecacatan anak

Tahap kecacatan anak juga mempengaruhi penerimaan ibu bapa terhadap anak istimewa. Anak yang mempunyai kecacatan yang agak serius seperti tidak boleh berjalan dan lumpuh serta hanya terbaring, di mana lebih mengharapkan orang lain untuk menguruskan dirinya kurang diterima oleh ibu bapa. Jika kanak-kanak tersebut bersifat hiperaktif atau pintar cerdas mereka ini mudah untuk diterima. Hal ini kerana kecacatan mereka tidak dapat dilihat secara jelas melalui mata kasar. Berbanding dengan kanak-kanak cacat fizikal yang mana mereka jelas dan mudah untuk dikenal pasti.

  1. Cabaran dan bebanan

Keluarga yang mempunyai anak cacat atau istimewa mempunyai cabaran dan bebanan yang tidak diketahui oleh orang lain. Ibu bapa dikatakan mempunyai bebanan sepanjang hayat jika anak istimewa tersebut tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Di mana anak istimewa tersebut perlu diangkat, dimandikan, dilampinkan, dipakaikan pakaian dan makan perlu disuap. Keadaan seperti ini menyebabkan ibu bapa mempunyai bebanan fizikal. Jika anak kian membesar maka semakin sukar untuk diuruskan kerana ibu bapa sudah uzur dan biasanya akan dipikul dan diambil alih pula oleh adik-beradik yang lain.

  1. Pengetahuan yang cetek

Ibu bapa yang langsung tidak mempunyai atau kurang pengetahuan tentang anak istimewa akan menyebabkan mereka tidak yakin untuk menjaga dan membesarkan anak-anak istimewa. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat membentuk hubungan yang baik dengan anak tersebut. Hal ini menyebabkan suasana dalam sesebuah keluarga menjadi tidak mesra dan kurang harmoni. Semakin tinggi tahap pengetahuan mereka mengenai anak istimewa, semakin tinggi tahap penerimaan mereka terhadap anak yang kurang upaya atau anak istimewa.

Kelompok Sokongan Ibu Bapa

Kerajaan telah menetapkan bahawa pada tanggal 14 Februari setiap tahun merupakan tarikh keramat bagi kanak-kanak istimewa kerana menyambut Hari Golongan Orang Kurang Upaya. Semua pihak harus berperanan dalam membantu dan memberi sokongan kepada ibu bapa dan kanak-kanak istimewa. Antara peranan yang dapat di mainkan oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan masyarakat, media massa adalah seperti berikut:

  1. Pihak Kerajaan

Pihak kerajaan khasnya dapat merangka beberapa pendekatan efisien dalam membantu memperjuangkan masa depan kanak-kanak istimewa. Sejajar dengan perlaksanaan program Bertindak Dunia yang diwujudkan hasil daripada ‘Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan Peluang bagi OKU Rantau Asia dan Pasifik pada 1994’,. Di mana pihak kerajaan perlu menepati sasaran 107 sasaran yang termaktub dalam Agenda Bertindak Dekad Orang Kurang Upaya Asia dan Pasifik. Penyertaan ini diharapkan dapat membantu pihak kerajaan memperjuangkan nasib anak istimewa dan OKU melalui pengalaman-pengalaman yang diperolehi dari negara luar seperti Jepun, Korea, Australia.

Selain itu, kerajaan harus memperluaskan Kod Amalan Akses Bagi OKU di semua bangunan awam bagi memberi kemudahan kepada golongan OKU. Langkah ini tidak hanya melibatkan kemudahan tandas awam, lif dan laluan khas untuk golongan OKU, sebaliknya perlu diperluaskan dengan pelbagai kemudahan lain. Ini akan memberi impak yang baik kepada golongan OKU. Kemudahan ini harus ditingkatkan supaya suasana mesra OKU dalam pembangunan negara dapat ditunjukkan. Malah, langkah ini tampak efisien jika dapat diteruskan oleh pihak swasta melalui saranan dari pihak kerajaan.

  1. Badan Bukan Kerajaan (NGO), Swasta dan Masyarakat

Pihak NGO dan swasta perlu menyahut cabaran dalam usaha memperjuangkan masa depan anak istimewa. Sifat lepas tangan dan ketidakpekaan harus dibuang bagi mengikis stigma yang berlaku terhadap anak istimewa. Pihak NGO seharusnya tidak mengharapkan sumbangan besar SUHAKAM dalam memperjuangkan hak anak istimewa. Kemampuan menyediakan kemudahan awam oleh badan korperat adalah penting bagi menyokong kerajaan. Langkah ini adalah lebih mesra OKU dalam memanfaat keupayaan sumber kewangan yang ada pada badan korporat.

  1. Media Massa

Media massa adalah saluran yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai anak istimewa. Pendekatan yang dijalankan oleh pihak media massa seperti rancangan reality bermanfaat seperti ini seharusnya dijadikan perintis untuk terus mewujudkan rancangan yang seumpamanya yang melibatkan kanak-kanak istimewa. Justeru, jika rancanagan ‘Bersamamu TV3’ memfokuskan pelbagai isu yang melibatkan ketidakupayaan seperti kemiskinan, seharusnya rancangan khusus mengenai anak istimewa yang memerlukan perhatian dan sokongan perlu diwujudkan.

Selain melalui media elektronik, media cetak juga perlu turut memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu kanak-kanak istimewa. Walaupun terdapat akhbar-akhbar utama menyiarkan ketidakupayaan kanak-kanak istimewa, langkah ini perlu diperhebatkan sementara akhbar dan majalah yang lain harus mengikut jejak langkah Berita Harian yang menyiarkan sisipan khas iaitu, ‘Mayang’ pada setiap bulan. Usaha sedemikian sekurang-kurangnya dapat menambah kefahaman masyarakat di Negara ini tentang anak istimewa dan nasib mereka yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

Dalam konteks yang lebih luas, media massa adalah antara medium utama sumber ilmu pengetahuan. Justeru, pihak media seharusnya dapat mengemblengkan pengetahuan mengenai anak-anak istimewa perlu diperhebatkan untuk membela nasib anak istimewa. Langkah yang lebih tersusun dan perancangan yang baik merupakan harapan baru kepada para ibu bapa anak istimewa untuk melihat nasib anak istimewa terbela.

Selain itu juga terdapat beberapa kelompok sokongan yang mana memberi bantuan kepada keluarga kanak-kanak istimewa. Apa kelompok sokongan yang wujud di Malaysia?. Apa yang mampu dilakukan oleh kelompok sokongan ini bagi membantu kanak-kanak istimewa?. Sebenarnya banyak kelompok sokongan yang sedia ada antaranya pihak dan lain-lain lagi. Kelompok sokongan secara umumnya mempunyai empat ciri penting iaitu pertemuan secara berkala, dihadiri oleh ahli-ahli kelompok yang sama bagi setiap pertemuan, berlaku dalam keadaan spontan dan tidak formal, serta wujud hubungan erat di antara ahli (Zastrow, 2001). Kelompok Sokongan Ibu Bapa (KSI) di Pusat Harian Sinar Harapan Alor Setar merupakan satu saluran di mana ibu bapa boleh menjalinkan hubungan dan berinteraksi serta menerima dan memberi sokongan antara satu sama lain. Lazimnya kelompok sokongan terdiri daripada mereka yang mempunyai persamaan keperluan dan kepentingan yang khusus.

Kelompok sokongan menyediakan ruang untuk ibu bapa mendapat sokongan diantara satu dengan yang lain, saluran untuk berkomunikasi, peluang untuk tindakan sosial dan meningkatkan pengetahuan melalui program-program pendidikan (Gainey, Prochazka-Graf dan Trombino, 1992). Setelah berjumpa dan berkenalan di antara satu dengan yang lain, ibu bapa merasakan bahawa masalah yang mereka hadapi bukanlah sesuatu yang terasing, tetapi turut juga dialami oleh ibu bapa lain yang senasib dengan mereka. Mereka berpeluang berbincang tentang masalah yang sedang dihadapi dalam membesarkan anak istimewa. Selain mereka memperoleh sokongan moral, mereka juga mungkin mendapat idea-idea untuk menangani masalah yang sedang dihadapi, dan mungkin juga lebih bersedia untuk berhadapan dengan keadaan-keadaan yang mungkin timbul pada masa akan datang.

KSI (Kelompok Sokongan Ibu Bapa) adalah satu usaha yang dijalankan oleh ibu bapa kanak-kanak istimewa itu sendiri. Di antara aktiviti-aktiviti penting yang lazim dijalankan oleh kelompok sokongan termasuklah perkongsian pengalaman, penyebaran maklumat berkaitan jagaan, pendidikan dan latihan, penubuhan pusat sumber keluarga, menganjurkan ceramah-ceramah mengenai topik-topik yang berkaitan dengan perkembangan dan bimbingan atau asuhan anak-anak istimewa, dan perkhidmatan nasihat berhubung dengan kemudahan-kemudahan serta sumber-sumber yang terdapat di dalam komuniti. California State Department of Education di Amerika Syarikat telah membentuk sebuah modul untuk Kelompok Sokongan Ibu Bapa dan telah mengenalpasti fungsi-fungsi berikut (Thompson, 1997):

  1. Menyediakan sokongan yang berterusan.
  2. Memberi bantuan semasa menghadapi krisis.
  3. Meneguhkan tingkah laku daya tindak yang positif.
  4. Membantu menangani perasaan marah (anger) dan menggunakan tenaga dengan cara yang positif.
  5. Berkongsi maklumat, idea-idea dan sumber-sumber.
  6. Menyediakan program latihan untuk ibu bapa meningkatkan kemahiran mereka.
  7. Membantu apabila perlu mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi berkaitan seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan yang lain.
  8. Menyediakan peluang untuk mengatasi perasaan kesorangan dan membentuk persahabatan yang baru.

Daripada satu kajian yang dijalankan oleh Santelli, Turnbull, Sergeant, Lerner dan Marquis (1996), ibu bapa yang mempunyai anak istimewa telah diminta menyatakan jenis-jenis sokongan yang mereka ingin dapatkan daripada ibu bapa lain melalui kelompok sokongan. Satu tinjauan telah dilakukan di mana memfokuskan kepada sokongan emosi, sokongan maklumat dan sokongan-sokongan lain. Hasil tinjauan mendapati bahawa dari segi sokongan emosi, perkara yang diutamakan ialah untuk mempunyai seseorang yang sedia mendengar dan memahami masalah yang dihadapi (67%), membantu dalam mengurangkan perasaan kesorangan (42%) dan memberi harapan untuk masa depan (30%). Dari segi sokongan maklumat, ibu bapa memberi keutamaan kapada maklumat berkaitan dengan ketidakupayaan (59%), cara-cara utuk mencari dan memdapatkan perkhidmatan (55%) dan penjagaan anak istimewa (52%). Dari segi sokongan lain, perjumpaan-perjumpaan untuk sokongan emosi (50%) dan untuk pendidikan (50%).

Selain daripada kelompok sokongan yang dibincangkan di atas terdapat pelbagai jaringan sokongan yang dapat membantu ibu bapa iaitu kaunseling. Beberapa pendekatan atau model kaunseling boleh diikuti untuk membantu ibu bapa anak istimewa. Walau bagaimanapun peringkat awal kaunseling atau terapi itu seharusnya memberi ruang untuk meneroka psikologi ibu bapa. Ini kerana kaunseling mempunyai fungsi tertentu di dalam membantu ibu bapa kanak-kanak istimewa. Antaranya ialah melalui siri temubual kelompok terapi, sikap yang signifikan dan defense mechanisms ibu bapa kanak-kanak istimewa dicungkil. Ini kerana matlamat teraputik kaunseling kelompok adalah untuk meminima perasaan terasing dan berbeza untuk melengkapkan ibu bapa dengan tujuan program ini (Milman, 1952)

Berhubung model, Seligman (1993) menyatakan bahawa kelompok ibu bapa boleh bertindak berdasarkan kepada model pendidikan ibu bapa, model kelompok terapi, atau kelompok sokongan yang akan membekalkan maklumat dan membenarkan ibu bapa untuk membincangkan satu

Kesimpulan

Penerimaan ibu bapa terhadap kehadiran anak istimewa adalah penting agar kanak-kanak tersebut dipelihara secara sama rata dengan anak-anak yang normal. Ibu bapa yang dapat menerima dan menghargai kehadiran anak istimewa biasanya akan mengecapi kebahagiaan dan kehidupan berkeluarga lebig mesra dan harmoni. Ini kerana mereka kurang tertekan berbanding dengan ibu bapa yang tidak menerima kehadiran anak istimewa. Ibu bapa yang tidak menerima kehadiran anak istimewa dalam keluarga, biasanya akan terus mengalami konflik dan menafikan hakikat sebenar. Mereka malu untuk berhadapan dengan masyarakat dan kurang empati dengan keperluan anak-anaknya. Perspektif buruk masyarakat terhadap pasangan yang mempunyai anak istimewa menyebabkan situasi ini berlaku. Oleh itu masyarakat harus lebih prihatin dan empati dengan golongan anak istimewa.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membantu dan meringankan beban keluarga yang mempunyai anak istimewa. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Sebagai sebuah masyarakat yang pelbagai kaum dan agama, seharusnya menanamkan sikap saling menyayangi dan membantu antara satu sama lain agar hasrat Perdana Menteri kita tercapai untuk merealisasikan slogan ‘Satu Malaysia’. Dalam apa keadaan sekalipun setiap individu mempunyai peranan dalam menjalankan tanggungjawab sosial tanpa mengira status, agama, bangsa atau darjat. Hak yang sama rata harus diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Setiap manusia adalah unik oleh itu, setiap individu harus saling hormat-menghormati dan peka kepada keadaan persekitaran. Ini penting agar setiap ahli masyarakat prihatin dan sensitif kepada keperluan golongan anak istimewa dan tidak mendiskriminasikan keluarga yang mempunyai anak istimewa.

RUJUKAN

Harwood R. Miller. S.C. Vasta. R. (2008).Child Psychology Development In A Changing Society. United States : John Wiley and Sons.

Huffmen, K. (2007), Psychology in Action. (8th Ed.) United States : Von Hoffmann Corporation

Khaidir Hj. Ismail, Lukman Z.M., Hanina H. Hamsam (2008). Pembangunan Kanak-kanak: Teori, Isu dan Cabaran, Arah Pendidikan Sdn. Bhd., Polygraphic (M) Sdn. Bhd.

Mohamad Nazar Mohamed, (2001). Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Sharani Ahmad, Nurul Hudani Md. Nawi. (2005). Tekanan dalam Keluarga Anak Istimewa di Kota Kinabalu. Kertas Kerja Persidangan Kebangsaan Kanak-kanak Istimewa: Hala Tuju dan Harapan. Anjuran Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah dan Pusat Seri Mengasih pada 17 dan 18 Disember 2005 di Auditorium Perpustakaan, Universiti Malaysia sabah.

Mohd Sharani Ahmad (2008). Intervensi Anak Istimewa Bermasalah Pembelajaran, Universiti Malaysia Sabah, Capital Associates (S) Sdn. Bhd.

Mohd Sharani Ahmad, (2004). Special Children, Universiti Putra Malaysia, Aremes (M) Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment