Monday, May 31, 2010

Generasi Y pastikan TUDM gah pertahan ruang udara Oleh Haryani Ngah from berita harian

2010/06/01

Calon muda berkualiti terajui misi strategik 

KEUPAYAAN mengawal dan memelihara ruang angkasa negara daripada sebarang pencerobohan atau ancaman luar ke atas kedaulatan negara membuktikan kekuatan serta kekukuhan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam melaksanakan misi dan visinya.
Hari ini, sudah 52 tahun TUDM melaksanakan tanggungjawab itu bagi memastikan keamanan ruang angkasa negara dapat dikekalkan dan TUDM merangka pelbagai perancangan rapi demi kedaulatan negara.
Semua agenda masa depan TUDM dirangkum menerusi tema sambutan ulang tahun ke-52 iaitu ‘Pasukan Udara Generasi Masa Depan.’ Menerusi tema itu, TUDM mahu mengingatkan anggotanya peranan yang perlu dimainkan untuk memacu masa depan yang lebih gah. 

Panglima TUDM, Datuk Seri Rodzali Daud, berkata dalam mencapai matlamat generasi masa depan, ia menggabungkan warga TUDM, organisasi dan sistem persenjataan. 

“Ketiga-tiga elemen ini perlu bergerak harmoni dan untuk mencapai matlamat itu, TUDM memerlukan seseorang yang berkualiti sebagai warganya iaitu mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berkelayakan pendidikan,” katanya pada sidang media, baru-baru ini. 

Bagi mencapai matlamat generasi masa depan yang mampu memacu TUDM ke arah lebih gemilang, pasukan itu mengambil satu pendekatan iaitu bagi mengisi jawatan pegawai dengan kelayakan ijazah. Pendekatan itu bukan hanya membabitkan TUDM semata-mata, malah Angkatan Tentera Malaysia amnya. 
“Kami mahu mencari calon berkualiti dan paling penting mempunyai bakat atau kecenderungan semula jadi. Calon ini diperlukan untuk mengendalikan pesawat generasi akan datang seperti pengangkut termoden Airbus A-400 dan helikopter tempur pelbagai guna Eurocopter EC725 Cougar keluaran Perancis yang berteknologi tinggi. 

“Malaysia kini memiliki pesawat Sukhoi 30-MKM yang disifatkan pesawat tempur paling canggih pernah dimiliki TUDM. Untuk melaksanakan matlamat itu, TUDM menjalankan pencarian calon berkualiti dan berkelayakan bermula daripada sekarang,” katanya. 

Untuk mencapai matlamat itu juga, TUDM menjalankan beberapa strategi terutama dalam menarik perhatian generasi muda. Usaha yang dijalankan termasuk mengunjungi sekolah dengan mengadakan ceramah dan taklimat mengenai TUDM. 

Aktiviti promosi di sekolah bertujuan menyalur minat pada usia muda dan tidak tertumpu kepada pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan tetapi remaja seawal usia 13 tahun atau di Tingkatan Satu. Ia dilakukan supaya anak muda tidak menjadikan penyertaan dalam TUDM sebagai pilihan utama. 

“Kami mahukan mereka yang menyertai TUDM kerana minat mendalam dan bukan pilihan terakhir. TUDM mahu menyemai dalam diri remaja minat terhadap kerjaya ini dengan cara memberi maklumat termasuk pameran kerjaya dan ceramah oleh pegawai yang berjaya dalam bidang dan kepakaran masing-masing. 

“Kita akan membawa mereka ke pangkalan dengan tujuan mendedahkan keadaan sebenar tentera udara. Kami mahu memberitahu mereka bahawa TUDM hari ini menggunakan peralatan berteknologi tinggi dan ia bersesuaian dengan anak muda – generasi Y yang cekap menggunakan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya yang mahu menyediakan landasan buat generasi muda melangkah ke hadapan bersama TUDM. 

Menurut Rodzali, strategi itu dirangka supaya membantu mempromosi profesion atau kerjaya yang membolehkan remaja menjadikan TUDM sebagai kerjaya pilihan mengikut kelayakan semasa yang mereka miliki. Ia juga meningkatkan patriotisme di kalangan remaja dan secara tidak langsung menarik minat graduan serta lepasan sekolah menyertai Angkatan Tentera Malaysia khususnya TUDM. 

Keperluan pegawai yang mempunyai kelayakan diiktiraf perlu dalam melaksanakan visi strategik yang ditekankan dalam perkhidmatan TUDM. 

Persediaan untuk memiliki warga berkualiti sangat penting kerana generasi akan datang berdepan konflik dan peperangan dengan cara berbeza dengan apa yang dilaksanakan pada hari ini. Keadaan itu, disebabkan perubahan geostrategik politik yang turut mengubah pendekatan dalam persenjataan. 

Sempena sambutan ulang tahun ke-52, pelbagai program diadakan dengan acara kemuncak iaitu perbarisan diraja di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur hari ini. 

Ia dipilih kerana pangkalan pertama TUDM yang sudah beroperasi sejak 1930-an di bawah pemerintahan British dan TUDM mengambil alih pangkalan ini pada 1958. 

Sempena sambutan ulang tahun ini juga TUDM mengambil peluang melancarkan ‘Visi Strategik - Generasi Tentera Udara Seterusnya.’ Sambutan diadakan di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur bertujuan mengimbas sejarah untuk memacu ke depan. 

No comments:

Post a Comment